Pada suatu masa, tinggal sepasang suami isteri di sebuah perkampungan. Di hujung kampung itu terdapat satu perigi buta di mana di dalamnya terdapat sang penunggu. Si suami hidup tertekan kerana isterinya kuat berleter. Sebangunnya si suami dari tidur, isterinya akan mula berleter walaupun sekecil-kecil perkara. Ada sahaja perkara yang ingin ditimbulkan. Namun begitu, si isteri tidak pernah melupakan tanggungjawabnya. Dia sentiasa memenuhi kehendak dan melayan makan pakai suaminya. Si suami sentiasa bersabar dengan karenah isterinya.
Suatu petang,si suami pulang dari tempat kerja setelah kepenatan yang amat. Ketibaannya disambut oleh leteran si isteri yang ingin suaminya membawanya keluar seperti waktu muda dahulu. Kesabaran si suami sudah mencapai kemuncaknya. Si suami keluar meninggalkan isterinya yang masih lagi berleter. Si suami pergi berjumpa dengan rakannya untuk menceritakan perkara tersebut.
Si rakan mencadangkan si suami supaya membawa si isteri ke hujung kampung dan menolaknya ke dalam perigi buta. Si suami agak terkejut mendengar cadangan si rakan namun mendiamkan diri. Ketika dia pulang ke rumah, isterinya menunggu di pintu. Seperti yang dijangka, isterinya mula berleter. Dia menahan amarahnya dan mula memikirkan cadangan si rakan sehinggalah dia tertidur.
Keesokan harinya, dia mengajak isterinya keluar. Si isteri sangat gembira kerana si suami membawanya keluar bersiar-siar. Mereka menuju ke hujung kampung. Setibanya di hujung kampung, si suami menolak si isteri ke dalam perigi buta itu. Si suami pulang dengan perasaan yang tenang. Setibanya dia di rumah, dia melakukan semua perkara yang ingin dilakukan dengan aman. Dia memasak dan membasuh baju sendiri.
Setelah beberapa hari, dia merasa sangat bosan. Hidupnya dirasakan sunyi. Walaupun keluar bersama teman-teman, dia merasakan hidupnya tidak lengkap. Sehinggalah dia menyedari bahawa dia amat merindukan suara si isteri. Si suami mula merasa menyesal kerana tergamak menolak si isteri ke dalam perigi buta. Dia nekad untuk membawa isterinya pulang dan meminta maaf di atas perlakuannya.
Keesokan harinya si suami menuju ke hujung kampung. Dia memanggil isterinya sambil mengintai ke dasar perigi namun tidak nampak apa-apa. Lantas dia menghulurkan tali apabila terdengar sahutan isterinya. Apabila dia mengangkat tali itu, dia amat terkejut apabila mendapati sang penunggu yang keluar daripada perigi itu.
Sang Penunggu: "Kenapa kau hantar isteri kau ke sini, aku tidak tenang bila dia ada di sini. Bawalah dia pergi".
Si suami tergelak. Lantas dia menghulurkan semula tali dan membawa isterinya naik. Dia amat bersyukur isterinya masih hidup. Walaupun isterinya marah-marah, tetapi dia tetap merasa bahagia dan membawa isterinya pulang. Hidupnya kembali bermakna dengan leteran si isteri.
p/s: Kadang-kadang perkara yang kita tidak sukalah yang melengkapkan dan membahagiakan hidup kita. Kita tidak akan sedar berharganya sesuatu sehinggalah kita kehilangannya. Bersyukurlah dengan ketetapan ILAHI.
No comments:
Post a Comment