Subhanallah Walhamdulillah Walailahaillallah Allahuakbar

The Blog Since-07/12/2010

Daisypath Anniversary tickers

29.10.12

Tenanglah Ayah di Sana

25 September 2012

Ani...Ani..sayup, sayup suara ayah memanggilku. Aku naik dari dapur. Ayah sedang menahan sebak di dadanya. Simpati yang dalam, aku mendekatinya. Aku merasa amat sedih dan takut melihat keadaan ayah yang tenat. Aku berusaha mengurut dada dan lengan ayah. Selepas beberapa jam, barulah dia beransur sembuh. Itupun kerana menonton perlawanan bolasepak. Aku hanya tersenyum.

Ajaib, selepas beberapa hari, ayah semakin sihat. Yang paling membahagaiakn, ayah semakin banyak tersenyum. Ayah amat terkenal dengan air muka yang garang. Sekarang, dia lebih banyak bergurau dengan kami.

3 Oktober 2012

Hari ini merupakan hari pertama aku bekerja di resort di bandar Kuala Terengganu. Aku dibawa mengenali dewan-dewan yang akan digunakan untuk pelbagai function.

Pukul 2.45 petang.

Kakakku menelefonku. Dia bertanyakan kepadaku sama ada aku mahu pulang dulu. Aku bertanya kembali mengapa. Dia tidak berkata apa-apa. Suaranya agak tergesa-gesa.. Aku menelefonnya kembali dengan mengatakan bahawa ada kakakku yang lain cuba menelefonku tetapi aku tidak sempat menjawab panggilan itu. Kakakku memberitahuku bahawa dia ingin pulang dulu dan pergi ke rumah abangku. Aku merasakan tidak sedap hati. Aku mula curiga walaupun kakakku tidak memperkatakan perkara yang lain. Entah kenapa aku seperti mendengar kakakku berkata sesuatu yang lain mengenai nenekku. Logik juga kerana nenekku tidak sihat kebelakangan ini.

Aku meminta untuk pulang dengan orang atasanku atas alasan kecemasan. Aku membonceng skuter dengan perasaan yang berbelah bahagi. Pelik, mengapa kakakku meminta aku pergi ke rumah abangku sedangkan nenekku biasanya berada di rumahnya sendiri? Adakah sesuatu berlaku pada kakak iparku?
Setibanya aku di rumah abangku, aku melihat sekujur tubuh yang ditutup wajahnya diusung masuk ke dalam van. Van itu berlalu di hadapanku. Aku tidak menangis dan merasa amat bingung. Semua kelihatan murung dan berlinangan air mata. Aku ternampak kakak iparku yang mendukung bayinya yang baru sebulan lebih. Lega, namun masih bingung. Aku tidak berkata apa-apa dan tidak bertanyakan apa-apa kepada sesiapa pun.

Aku menuruti van itu dan tidak langsung menjangkakan van itu menuju ke rumahku, bukan pula rumah nenekku. Tidak terlintas sedikit pun badan yang lain yang diusung itu. Aku mendaki tangga rumah dan hanya memerhati mereka meletakkan sekujur badan itu di ruang tamu. Aku menarik anak buahku yang berumur 4 tahun yang sedang menangis. Tiba-tiba terpacul perkataan dari mulutku.Tidak pula aku membuka kain yang menutupi wajah itu kerana aku tidak boleh melihat mayat.

“Ain, Tokki ke?” aku bertanya anak buahku sama ada adakah ayahku yang terkujur itu kerana wajahnya masih ditutup. Aku tidak tahu mengapa itu pula yang terkeluar dari mulutku.

Anak buahku mengangguk. Hampir pitam aku. Bingung. Bohong. Tidak mungkin. Pada waktu ini, ayah biasanya di kebun. Aku  berlalu ke bilik air. Masih lagi tidak menangis. Aku mengambil wuduk dan meluru kearah tubuh itu.

“Yaasinn..” Bersama perkataan itu, ari mataku mula menitis laju. Aku langsung tidak menghiraukan orang lain yang ingin memasang tirai. Bacaanku semain kuat kerana bercampur dengan tangisan. Kain yang menutupi ayah belum aku buka kerana aku belum bersedia untuk menerima kenyataan.

Bila tirai sudah dipasang dan tiada siapa lagi disisiku, aku membuka kain yang menutupi wajah ayah. Wajahnya umpama tersenyum. Aku tahan air mata ini semampunya.

***
Aku mendapat tahu bahawa ayah rebah ketika bertukang di belakang rumah abang dan tiada siapa di sisinya waktu itu. Abang mungkin menyedari ketiadaan arwah ayah beberapa minit selepas itu kerana rokok di tangan ayah umpama baru dinyalakan.  Arwah ayah bekerja sampai habis umurnya kerana itu hobinya. Arwah tidak suka duduk dan berehat-rehat sahaja. Kematian arwah ayah boleh dikatakan mengejut. Aku redha walaupun segalanya umpama mimpi.

Terima kasih, ayah kerana membesarkan kami 13 beradik. Tidak langsung ayah buang kami. Tidak juga ayah buang ibu kami dalam kepayahan yang amat. Malah sentiasa bersamanya mngharungi hidup. Tidak mungkin kami dapat menggantikan insan setabah dan sekental ayah. Terima kasih kerana mendidik kami menjadi orang yang berguna.

Tenanglah ayah di alam sana….
Amin ya Rabbal Alamin.

Yang merindui ayah..
Siti Munirah Hashim.